kisah kejayaan
Produk Homemade
By PWIP | Kisah Keyajaan | 28 Februari 2023
Assalamualaikum wbt.
Saya Nurfarhana G. Lidadun. Seorang muallaf dan ibu tunggal kepada 11 orang anak. Saya berasal dari negeri Sabah dan arwah suami pula dari Puchong, Selangor.
Arwah suami meninggal pada 2018 kerana sakit. Selepas kematian suami saya dan anak-anak hilang tempat bergantung dan hilang punca pendapatan. Ketika itu, anak masih kecil dan 6 orang daripada mereka tiada dokumen diri, menyebabkan mereka tidak dapat didaftarkan untuk bersekolah.
Saya juga tidak dapat berkerja kerana pada masa itu sering sakit dan disahkan pesakit ketumbuhan payudara. Kesusahan yang saya alami terlalu berat dan tidak dapat saya gambarkan melalui kata-kata. Namun, Alhamdulillah Allah menghantar orang-orang baik sehinggalah kehadiran PWIP dalam kehidupan saya dan keluarga.
Saya berminat dalam bidang spa. Pihak PWIP telah menghantar saya dan Ellysha (anak) untuk mendalami dalam bidang spa. Setelah mengikuti beberapa kursus yang diaturkan oleh PWIP, saya dan anak telah mula menjalankan perniagaan spa secara bergerak (mobile). Sedihnya, cabaran semasa PKP menyebabkan saya menghentikan perniagaan ini.
Saya mula memikirkan perniagaan lain, akhirnya saya memutuskan untuk menceburi bidang perniagaan makanan “ready to eat”. Dibawah bimbingan dan bantuan daripada PWIP serta pantauan daripada Puan Faridah, saya kini sudah mula berniaga secara kecil kecilan. Antara produk saya, Sambal Ikan Bilis Borneo, Acar Ikan Talang, Salted Eggs Ikan Bilis Crunchy dan Dipping Chilli Sauce.
Terkini PWIP juga telah membantu saya, untuk memperkembangkan lagi perniagaan saya dengan menyumbang mesin pengisar industrial. Bahkan PWIP juga memberi saya peluang mengikuti Program Mentor Mantee bersama Dato Azman.
Alhamdulillah, syukur tak terhingga kehadrat Ilahi, PWIP telah mengubah kehidupan saya sekeluarga. InsyaAllah, saya akan lebih berusaha memajukan diri. Aspirasi saya adalah supaya produk saya dikenali semua dan menjadi seorang usahawan berjaya, dunia dan akhirat, insyaAllah.
Saya dengan sepenuh hati, serendahnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga/ pasukan PWIP yang telah bersungguh-sungguh membantu saya dan anak-anak. Dengan ucapan terima kasih sahaja tidak akan memadai namun kami sekeluarga mengabdikan PWIP dalam doa kami.
PWIP sangat prihatin pada kesusahan yang menimpa saya dan anak-anak. Aspirasi saya untuk meningkatkan keboleh-upayaan saya untuk berdiri di kaki sendiri, dan membantu anak-anak saya dalam meningkatkan pelajaran yang telah jauh ketinggalan.
< Kembali